Wednesday 4 November 2015

KUIH GETAS GULA


Kuih Getas ini rasanya liat-liat, manis dan lemak. Kuih dulu-dulu yang sentiasa dihati sahabat Szen, Puan Poziah Zainal yang juga pengirim resepi ini. Kuih ini sedap bila dimakan panas atau sejuk.


Cara buatannya tidaklah begitu susah. Hanya semasa menyira kenalah lebih berhati-hati agar air gula tidak menjadi gula hangus. Terima kasih sahabatku Pozy. Jom cuba & kongsi resepi ini ~ Sharizen Kitchen.



KUIH GETAS GULA
================
(Oleh : Sharizen Kitchen)
(Resepi : Poziah Zainal)

BAHANNYA:-

3 cawan tepung pulut
1 cawan tepung gandum
1 cawan kelapa parut(putih) digaul sebati dengan garam Dan 1 sudu gula
100ml air suam

Minyak until mengoreng

Cara-cara membuatnya

1.Satukan kedua-dua tepung dan kemudian masukkan kelapa parut serta garam. Tuang air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh. Pastikan ia tidak terlalu lembik sangat.

2. Biarkan sebentar selama 10 minit. Buatkan bulat-bulat kecil dan kemudian leperkan sama ada ia berbentuk lonjong atau leper. Pastikan anda sapukan sedikit minyak ditangan anda apabila hendak memegang doh dan menyapu minyak atas dulang apabila hendak meletak doh supaya tidak melekat.

3. Panaskan minyak dengan api sederhana. Apabila agak panas, goreng kuih sehingga kekuningan. Pastikan anda sentiasa balik-balikkan kuih supaya tepung tidak mengelembung dan pecah

4.Bila dah kekuningan, angkat dan toskan dengan tisu masakan.



MENYIRA GULA

BAHANNYA:-

1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air

CARANYA:-

1.Masukkan gula dan air kedalam kuali yang agak besar. Masak dengan api sederhana dan bukan api kecil ataupun kuat

2.Adunan akan mula berbuih. Buih-buih gula itu mula-mula akan memenuhi bahagian tepi dan kemudian ia akan merebak kebahagian tengah. Biarkan ia selama 7 minit.

3. Apabila sudah 7 minit, cuba titiskan setitik air gula atas piring dan kemudian guna jari telunjuk sentuh air gula tadi dan temukan jari telunjuk dengan ibu jari. Lekat-lekatkan beberapa kali. Ia mula dikira sudah 'menjadi' bila anda rasa ia melekit-melekat dijari dan akan menghasilkan ketulan-ketulan halus dijari.

4.Jika belum lagi, biarkan satu minit lagi. Bila sudah melekit, tutup api. NOTA : Pastikan air gula pekat dan tidak menjadi seperti gula hangus. Selalunya akan mengambil masa selama 8-10 minit sahaja.


5. Sesudah tutup api, masukkan kuih-kuih yang hendak sira kedalam kuali dan kacau sampai bunga-bunga gula keluar. Selamat mencuba ~ Sharizen Kitchen.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...